Isnin, Februari 09, 2009

Peristiwa Gerhana

Pendahuluan

Peristiwa gerhana merupakan satu fenomena, satu perubahan, satu kejadian, suatu keagungan dan kebesaran Allah yang berlaku pada matahari dan bulan di mana kejadian ini adalah suatu perkara yang amat mudah bagi Allah Ta'ala melakukannya sesuai dengan firmannya dalam surah Aali-Imran : ayat 190 bermaksud:

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah ) bagi orang-orang yang berakal.

Kejadian gerhana merupakan suatu iktibar kepada manusia bahawa matahari dan bulan yang dijadikan sebagai makhluk adalah kecil dan lemah di sisi Allah. Ia juga memperlihatkan keagungan Allah Ta'ala ke atas setiap makhluknya. Menurut sejarah, peristiwa gerhana matahari pernah berlaku pada hari wafatnya putera Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam yang bernama Ibrahim. Mengikut kepercayaan mereka ketika jahiliah di mana apabila berlakunya gerhana matahari atau pun bulan maka mereka beranggapan bahawa berlakunya sesuatu gerhana disebabkan kematian seseorang yang besar dan mulia. Rasulullah s.a.w telah menyangkal kefahaman karut ini lalu bersabda sebagaimana hadis di bawah. Keadaan ini telah ditafsirkan oleh orang ramai pada ketika itu sebagai tanda dukacita alam terhadap kewafatan tersebut. Oleh itu, Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam telah menjelaskan perkara tersebut dalam hadith yang bermaksud :

Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua tanda dari tanda-tanda kebesaran Allah. Kedua-duanya (ketika berlaku gerhana) digunakan oleh Allah untuk menakutkan (memberi amaran) kepada para hambaNya dan keduanya tidaklah menjadi gerhana disebabkan kematian seseorang di antara manusia. Oleh itu apabila kamu melihatnya maka dirikanlah sembahyang dan berdoalah kepada Allah sehinggalah Allah meneranginya semula kepada kamu (Sahih Muslim)

Perkara-Perkara Yang Disunatkan Ketika Menghadapi Gerhana

Hukum Solat Gerhana Matahari
Hukumnya adalah sunat muakkad atau pun sunat yang digalakkan sebagaimana difahami daripada hadis yang diriwayatkan oleh imam Muslim yang bermakna : Sesungguhnya matahari dan bulan merupakan dua tanda daripada tanda-tanda (kebesaran) Allah tidak berlaku gerhana pada kedua-duanya kerana kematiaan seseorang dan tidak pula kerana kelahirannya. Maka apabila kamu melihat perkara itu maka sembahyanglah dan berdoalah sehingga kembali terang (hilang gerhana) apa dengan kamu.

Solat gerhana ini disunatkan untuk ditunaikan secara berjemaah dengan diseru sebelum mendirikannya : as-Solatu Jaami'ah!!

Cara-cara Solat Gerhana
Niatnya : Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat kerana Allah Ta'ala - (Jika solat seorang diri)

Dan : Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat mengikut imam kerana Allah Ta'ala - (Jika berimam)

Solat Gerhana dilakukan dengan dua rakaat di mana setiap rakaat mestilah mempunyai 2 kali qiam (berdiri) , 2 kali membaca surah, 2 kali rukuk yang mana kesemuanya dilakukan secara biasa tanpa memanjangkannya.Jadi untuk 2 rakaat kita hendaklah mempunyai 4 qiam (berdiri), 4 kali membaca surah dan 4 kali rukuk kesemuanya.

Sah juga dilkakukan solat sunat gerhana ini sebagaimana solat Jumaat atau solat sunat biasa dengan 2 rakaat, 2 qiam dan 2 rukuk tetapi ia telah meninggalkan fadhilat sebagaimana yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.

Cara Bacaan Ketika Solat Gerhana
Pertama : Bagi solat sunat gerhana matahari, bacaannya adalah secara perlahan atau senyap berdasarkan hadis daripada imam Tarmizi daripada Samurah bin Jundub telah berkata : Nabi s.a.w telah sembahyang dengan kami pada kusuf (gerhana matahari) tidak didengari baginya suara.

Kedua : Bagi solat sunat gerhana bulan pula, bacaaannya adalah secara kuat menurut hadis diriwayatkan daripada imam Bukhari dan Muslim daripada 'Aisyah: Nabi s.a.w telah membaca secara kuat dalam solat khusuf (gerhana bulan) dengan bacaannya.

Khutbah Gerhana
Selepas selesai menunaikan sunat dua rakaat gerhana maka disunatkan untuk membaca dua khutbah sebagaimana khutbah Jumaat dari segi rukun dan syaratnya. Di dalamnya disentuh masalah taubat, melakukan kebaikan dan juga memberi amaran agar umat Islam menjauhkan diri daripada lalai dan lupa kepada Pencipta iaitu Allah. Manakala pada khutbah kedua pula disentuh tentang keperluan infaq dan sedekah.

Mandi Sunat Gerhana
Disunatkan kepada kita untuk mandi sebelum solat sunat gerhana sebagaimana hari Jumaat kerana kita mahu keluar untuk solat berjemaah.

Bagaimana Gerhana Terjadi
Gerhana matahari berlaku apabila bulan yang sedang dalam perjalanannya mengelilingi bumi lalu bersetentangan dengan bumi dan matahari, dan bayangnya terkena pada permukaan bumi, maka terjadilah gerhana. Gerhana matahari hanya dapat berlaku ketika bulan baru, kerana pada masa itu bulan berada di sebelah bumi menghadap matahari. Walaupun bulan lebih kecil, bayangan bulan mampu melindungi cahaya matahari sepenuhnya kerana kedudukan bulan adalah lebih dekat kepada bumi berbanding matahari.

Gerhana Matahari boleh berlaku dalam tiga keadaan

Gerhana Matahari Penuh
Gerhana matahari penuh berlaku apabila seluruh bulatan matahari ditutupi oleh bulatan bulan. Dengan kata lain, ketika saat gerhana matahari penuh ini, ukuran bulan dilihat sama besar atau lebih besar dari bulatan matahari.

Gerhana Matahari Cincin
Gerhana matahari cincin berlaku apabila keseluruhan bulatan bulan menutupi matahari. Namun disebabkan kedudukan bulan dan matahari, dan saiz bulan yang kecil berbanding matahari, maka bulatan matahari tidak tertutup secara penuh. Kesannya terdapat sinaran cahaya matahari yang membentuk seperti cincin kelihatan dengan jelas.

Gerhana Matahari Sebahagian
Gerhana matahari sebahagian terjadi ketika mana saat puncak gerhana, tidak seluruh piringan bulan menutupi piringan matahari. Hanya sebahagian daripada bulan sahaja yang menutupi matahari.

Gerhana Bulan

Gerhana bulan pula hanya boleh berlaku ketika bulan purnama. Ketika itu bulan berada bersetentangan dengan bumi dan terlindung daripada matahari. Ini bermakna bulan boleh termasuk ke dalam bayang bumi dan menghilang. Gerhana Bulan boleh dibahagikan kepada 3 bahagian.

Gerhana Bulan Penuh
Gerhana bulan penuh berlaku apabila keseluruhan bulatan Bulan masuk ke dalam bayangan umbra bumi. Pada ketika ini, kita dapat melihat bayangan bumi pada bulan. Tempoh gerhana bulan penuh ini boleh mencapai sehingga lebih daripada 1 jam 47 minit.

Gerhana Bulan Sebahagian
Gerhana bulan sebahagian berlaku apabila sebahagian bulan sahaja yang masuk ke dalam umbra bumi, dan sebahagian lagi berada dalam bayangan penumbra bumi pada saat kemuncak fenomena ini berlaku.

Gerhana Bulan Penumbra
Manakala gerhana bulan penumbra berlaku ketika mana bulan keseluruhannya masuk ke dalam penumbra bumi. Gerhana jenis ini tidak membawa sebarang perubahan dalam proses kenampakan bulan itu sendiri. Ini kerana pada gerhana bulan jenis ini, kenampakan gerhana hampir-hampir tidak dapat dibezakan dengan bulan purnama biasa.

Sumber:

Tiada ulasan: