Selasa, Februari 03, 2009

Kod 19 - Penyelewengan Akidah

Mempertikaikan Kesahihan ayat-ayat Al-Quran

Selain daripada memesongkan pengertian ayat-ayat Al-Quran, kumpulan (anti-hadis) ini juga didapati telah mempertikaikan kesahihan ayat 128 dan 129, surah al-Taubah. Kassim Ahmad melalui bukunya "HADIS JAWAPAN KEPADA PENGKIRITIK", hal 60, mendakwa bahawa terdapat sabotaj dalam penulisan kedua-dua ayat ini kerana ia tidak dapat diselaraskan dengan kod 19.

"Kita tidak boleh meninggalkan bab ini tanpa menyebut suatu lagi pendedahan besar yang telah dibuat oleh Kod 19. Bukhari dan Al-Suyuti (811 T.M.) menyatakan bahawa ketika Khalifah Uthman melantik sebuah suruhanjaya untuk menyemak naskhah-naskhah Quran yang wujud pada waktu itu, termasuk menyemak dengan mereka yang menghafal Quran untuk mengadakan suatu naskhah Quran yang rasmi, suruhanjaya itu mendapati bahawa tiap-tiap ayat Quran disahkan oleh banyak saksi, "kecuali ayat-ayat 128 dan 129, surah 9, ................ Tetapi yang amat memeranjatkan itu bila kita dapati bahawa kedua-dua ayat ini, dari segi huruf, perkataan dan ayat-ditolak oleh Kod 19. Ini bermakna Kod 19 mengesahkan dua kenyataan sejarah oleh Bukhari dan Al-Suyuti yang kita petik tadi bahawa ayat-ayat ini ialah tambahan yang tidak terdapat dalam Quran".

ULASAN
Sumber rujukan umat Islam selepas wafat Rasulullah s.a.w. ialah Al-Quran dan Sunnah. Ini jelas melalui sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:

Daripada Abu Hurairah r.a., daripada Nabi s.a.w. sabdanya: "Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang teguh dengan kedua-duanya iaitu kitab Allah (Al-Quran) dan sunnah Rasulullah (s.a.w.)" (Riwayat Malik)

Daripada hadith di atas dapatlah difahami bahawa Kod 19 yang menjadi rujukan utama Kumpulan Anti Hadith adalah bercanggah dengan Islam, kerana Kod 19 bukanlah wahyu daripada Allah, malah ianya teori manusia sahaja sebagai penemuan baru. Berbanding dengan Al-Quran dan hadith, kedua- duanya adalah daripada wahyu Allah s.w.t. lanya terjamin sehingga hari kiamat. Ini bertepatan dengan firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

"Dan ia (Muhammad) tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu itu (sama ada Al-Quran atau hadith) tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan kepadanya. (Surah An-Najm: ayat 3-4)

Kesahihan ayat-ayat Al-Quran tidak perlu diragui dan dipertikaikan lagi kerana ayat-ayat suci Al-Quran tetap terpelihara daripada sebarang bentuk sabotaj, perubahan dan penyelewengan. Ini bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud:

"Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya” (Surah Al-Hijr: ayat 9)

Susunan ayat-ayat Al-Quran di dalam Mashaf Uthman ini adalah benar-benar daripada penyusunan yang dibuat secara "tauqifi" oleh Malaikat Jibril kepada Nabi s.a.w. dan Nabi Muhammad s.a.w. sendiri mentauqifkan pula kepada penulis wahyu. Sebab itu Saidina Uthman apabila ditanya beliau menjawab bermaksud: “Wahai anak saudaraku, aku tidak mengubah sesuatu dari tempatnya". Al-Quran Mashaf Uthman ini juga telah diterima di zaman sahabat sebagai ijma' sahabat tanpa sebarang bantahan dan yakin sampai darjat mutawatir.

Kalau sekiranya kita mempertikaikan kesahihan ayat-ayat Al-Quran, ini menunjukkan kita sendiri tidak berpegang teguh dan mempercayai sepenuhnya terhadap Al-Quran itu sendiri. Sebagai seorang Islam, kita wajib mempercayai kesucian seluruh ayat-ayat Al-Quran yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w., sedangkan Kod 19 yang menjadi rujukan kumpulan Anti Hadith tidak terjamin keasliannya, kerana ia adalah hasil pemikiran manusia yang mempunyai batas-batas ilmu yang sangat terhad, malah Allah s.w.t. Maha Mengetahui dan Maha Kuasa terhadap dunia dan segala yang terkandung di dalam alam ini.

Sumber:
Laman Web Rasmi JAKIM

Tiada ulasan: