Ada pendapat yang agak tersasar mengatakan bahawa azan itu bukan ibadah. Mungkin saja yang empunya pendapat itu agak terkeliru dengan pemerhatiannya bahawa kadang-kadang kanak-kanak melaungkan azan. Dan katanya lagi, jika azan itu benar-benar ibadah mana rukunnya?
Artikel ringkas ini bukanlah jawapan kepada dakwaan di atas, tetapi sekadar berkongsi pengetahuan dengan ahli kariah sekalian. Jika ada sebarang maklumat yang bertentangan dengan isi kandungan artikel ini, silalah berikan komen tuan-tuan.
AZAN SEBAGAI LAMBANG SYIAR ISLAM
Pendahuluan
Azan merupakan lafaz khusus yang disyariatkan oleh Islam untuk menyatakan masuknya waktu sembahyang fardhu dan menyeru orang-orang Islam supaya berkumpul untuk mengerjakannya.
Definisi
Azan dari segi bahasa bermaksud pemberitahuan atau seruan. Dari segi istilah pula, azan ialah suatu gabungan perkataan tertentu sebagai pemberitahuan tentang waktu sembahyang dengan lafaz-lafaz tertentu.
Hukum
Hukum azan adalah sunat mu’akkadah `ala al-kifayah bagi sesuatu kumpulan. Ini bermakna tuntutan sunatnya terlaksana walaupun tidak dilakukan oleh semua ahli kumpulan tersebut. Bagi individu pula, ia merupakan sunat `aini atau dengan kata lain pahala sunat diperolehi apabila seseorang itu melakukannya.
Syariat
Dari segi sejarahnya, azan mula disyariatkan pada tahun pertama Hijrah.
Dalil
1. Dalil daripada al-Qur’an ialah firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Jika kamu dipanggil (diseru) untuk sembahyang...” (Surah al-Ma’idah: 58)
2. Dalil daripada as-Sunnah pula merangkumi banyak hadith. Antaranya ialah sebuah hadith yang bermaksud:
“Apabila tiba waktu sembahyang hendaklah salah seorang kamu melakukan azan dan yang lebih tua daripada kamu hendaklah menjadi imam.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Syarat-Syarat Azan
1. Tertib. Hendaklah azan itu dilaungkan dengan mengikut susunan ungkapannya.
2. Berturut-turut. Hendaklah ungkapan-ungkapan azan itu dilaungkan secara berturut-turut.
3. Melaungkan dengan suara yang nyaring. Azan untuk mendirikan sembahyang jemaah hendaklah dilaungkan dengan suara yang nyaring, sekurang-kurangnya didengar dengan jelas oleh seorang daripada jemaah tersebut.
4. Masuk waktu sembahyang. Azan itu hendaklah dilaungkan ketika sudah masuk waktu sembahyang fardhu.
Syarat-Syarat Orang Yang Azan
1. Islam. Tidak sah azan orang kafir.
2. At-tamyiz. Tidak sah azan oleh kanak-kanak yang belum mumaiyiz.
3. Lelaki. Tidak sah azan dilaungkan oleh perempuan bagi jemaah lelaki.
Sunat-Sunat Azan
1. Sunat bagi orang yang azan dan iqamah itu berdiri,
2. Berdiri di tempat yang tinggi seperti menara masjid.
3. Menghadap ke qiblat. Kerana qiblat itu adalah semulia-mulia arah.
4. Sunat ketika azan – tanpa menggerakkan dada dan kaki.
5. Sunat menutup dua lubang telinga dengan dua jari telunjuk, kerana ianya boleh meninggikan lagi suara.
6. Sunat bagi orang yang melaungkan azan itu merdeka (bukan hamba) dan baligh.
7. Sunat bagi orang yang azan itu bersifat adil.
8. Sunat bagi orang yang azan itu suci (taharah) daripada hadas atau junub.
9. Sunat melaungkan azan itu dengan bacaan yang tartil (bacaan yang perlahan dengan menyebut kalimah-kalimahnya dengan terang dan jelas).
10. Sunat bagi orang yang melaungkan azan itu tinggi suaranya
11. Sunat menjawab azan.
12. Sunat ke atas orang yang azan serta orang-orang yang mendengarnya bershalawat dan mengucapkan salam ke atas Nabi Muhammad s.a.w. sesudah selesai daripada azan dan iqamah tersebut.
13. Sunat duduk dan diam seketika atau sebagainya di antara azan dan iqamah bagi menunggu jemaah berkumpul.
14. Sunat berpindah daripada tempat melaungkan azan ke tempat lain ketika menyerukan iqamah.
Rujukan:
1. Al-Qur’an Al-Karim dan terjemahannya.
2. Al-Fiqh al-Manhaji Kitab Fiqh Mazhab Syafie, Jilid 1, Terbitan Pustaka Salam Sdn. Bhd., Karangan Dr. Mustafa al-Khin, Dr. Mustafa al-Bugha & Ali asy-Syarbaji.
4 ulasan:
Sallam Tuan,
Terima kasih atas artkel tuan. Tuan menyatakan azan hukumnya sunat mu’akkadah `ala al-kifayah. Adakah ini bermakna untuk kawasan kita WAJIB bagi masjid melaungkan azan apabila masuk masuk solat kerana mustahil ada ahli kariah lain yang akan melaungkan azan bila masuk waktu sebab mereka tahu ini adalah tanggungjawab masjid?
AJK Masjid telah memutuskan bahawa azan perlu dilaungkan apabila masuk waktu walaupun ada pengajian ketika itu. Tetapi saya rasa masih ada pengajar yang enggan memberi ruang masa untuk bilal melaungkan azan. Jika ini benar, saya cadangkan kita tidak lagi meneruskan pengajian dengan pengajar tersebut.
Wallahuua'lam.
Sallam Hj Hussin,
Sunat Mu'akkadah bukan wajib. Ia tetap sunat yang sangat-sangat dituntut melakukannya. Kalau dilaungkan dapat pahala. Jika ditinggalkan tidak berdosa.
Manakala belajar pula adalah wajib seperti hadis ini: "Menuntut ilmu itu diwajibkan atas tiap-tiap orang muslim".
Jadi samada azan atau diteruskan pengajian, kita patut juga menunggu kebenaran guru sabagai penghormatan kepadanya dan kemulian ilmu yang disampaikannya.
Allah knows best.
Sallam Tuan,
Memang sunat Mu'akkadah ialah sunat yg sangat dituntut dan bukan wajib. Tetapi artikel tuan menyatakan sunat mu’akkadah `ala al-kifayah bukan hanya sunat mu'akkadah. Ini yang saya tak berapa faham adakah ia bermakna fardhu kifayah atau sama seperti sunat sahaja. Kalau fardhu kifayah, dan kita tahu orang lain tak akan buat adakah jatuh wajib pada pihak masjid?
Memang benar menuntut ilmu itu WAJIB tetapi adakah kita dianggap meninggalkan yang wajib apabila kita berhenti seketika untuk melaungkan azan saja?
Yes you are right, only Allah knows best. Wassallam.
Ada beberapa perkataan yang perlu kepada penjelasan makna.
Pertama sunat mu'akkadah ala al-kifayah: maksudnya sunat yang dituntut yang tertanggung atas ahli kariah. Jika buat dapat pahala, tinggal tidak berdosa. Lazimnya Bilal yang akan melaungkan azan.
Kedua wajib. Jika buat dapat pahala, tinggal berdosa.
Ketiga fardu. Sama maksud dengan wajib bagi Jumhur ulamak (termasuk mazhab Syafii). Hanya mazhab Hanafi yang membezakan wajib dan fardu (mengikut sumber dalil hukum). Namun meninggalkan fardu tetap berdosa.
Allah knows best.
Catat Ulasan