(Artikel ringkas mengenai Hukum Syarak)
Pengenalan
Definisi hukum menurut bahasa ialah menetapkan sesuatu terhadap sesuatu.
Menurut istilah, hukum ialah khitab atau firman Allah yang berkaitan dengan segala perbuatan mukallaf sama ada yang berbentuk tuntutan, pilihan atau dijadikan.
Yang dimaksudkan dengan khitab Allah ialah mesej daripada Allah s.w.t yang disampaikan kepada mukallaf melalui utusanNya, Muhammad s.a.w. dalam bentuk wahyu yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah.
Yang dimaksudkan dengan mukallaf ialah mereka yang cukup umur, berakal dan sampai seruan Islam kepada mereka.
Jenis-Jenis Hukum Syarak
Hukum syarak boleh dibahagikan kepada dua jenis:
Pertama Hukum Taklifi iaitu Khitab Allah yang mengandungi tuntutan supaya melakukan sesuatu perbuatan (seperti wajib dan sunat) atau meninggalkannya (seperti haram dan makruh) atau diberi pilihan untuk melakukan atau meninggalkannya (iaitu harus).
Kedua Hukum Wad’i iaitu Khitab Allah yang menjadikan sesuatu sebagai sebab, syarat dan penghalang kepada sesuatu hukum.
Hukum Taklifi
1. Wajib
Ialah tuntutan syarak ke atas mukallaf supaya melakukan sesuatu perbuatan dengan tuntutan pasti. Iaitu perkara yang diberi pahala kerana melakukannya dan berdosa kerana meninggalkannya. Contohnya, solat lima waktu. Firman Allah s.w.t, yang bermaksud: "Dirikanlah solat dan keluarkan zakat" (An-Nisa:77). Ayat ini menjelaskan bahawa solat (dan zakat) itu adalah wajib kerana ia satu bentuk tuntutan yang pasti iaitu berdasarkan dalil qat'i, al-Quran al-Kariim.
Ulamak mazhab Hanafi membezakan di antara wajib dan fardhu. Jika tuntutan supaya melakukan sesuatu dalam bentuk pasti berdasarkan al-Quran dan Hadis Mutawatir, maka ia dinamakan fardhu. Jika berdasarkan dalil-dalil lain, selain daripada al-Quran dan Hadis Mutawatir, maka ia dinamakan wajib. Contohnya, membaca mana-mana surah dalam solat adalah fardhu kerana ia berdasarkan dalil qat'i iaitu al-Quran. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “maka bacalah apa yang mudah (bagimu) dari Al Qur'an dan dirikanlah sembahyang,” (al-Muzzammil:20). Sementara membaca surah al-Fatihah pula adalah wajib kerana ia berdasarkan dalil yang zanni iaitu Hadis Ahad. Rasulullah s.a.w. bersabda, yang bermaksud: “Tiada solat bagi seseorang yang tidak membaca fatihah.” (Hadis Riwayat Bukhari).
2. Sunat
Ialah apa yang dituntut oleh syarak untuk melakukannya sebagai tuntutan tidak pasti. Iaitu perkara yang diberi pahala kerana melakukannya dan tidak berdosa kerana meninggalkannya. Contohnya, mencatatkan hutang. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu bermu'amalah tidak secara tunai untuk waktu yang ditentukan, hendaklah kamu menuliskannya.” (Al-Baqarah:282). Lafaz ini menunjukkan wajib, tetapi terdapat qarinah atau tanda yang memalingkan kepada tidak wajib. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “… Akan tetapi jika sebagian kamu mempercayai sebagian yang lain, Maka hendaklah yang dipercayai itu menunaikan amanatnya (hutangnya)” (Al-Baqarah:283). Maka perintah mencatit hutang adalah perintah sunat.
3. Haram
Ialah tuntutan syarak supaya meninggalkan sesuatu perbuatan dengan tuntutan pasti. Iaitu perkara yang diberi pahala kerana meninggalkannya dan berdosa kerana melakukannya. Contohnya, larangan mengumpat. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: "...dan janganlah sebahagian daripada kamu mengumpat sebahagian yang lain." (al-Hujarat:12). Ayat ini menjelaskan bahawa mengumpat itu adalah haram kerana ia satu bentuk tuntutan yang pasti iaitu berdasarkan dalil qat'i, al-Quran al-Kariim.
4. Makruh
Ialah sesuatu perkara yang dituntut oleh syarak meninggalkannya sebagai tuntutan tidak pasti. Iaitu perkara yang diberi pahala kerana meninggalkannya dan tidak berdosa kerana melakukannya. Contohnya, bertanya pada perkara-perkara yang tidak perlu. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menanyakan (kepada Nabimu) hal-hal yang jika diterangkan kepadamu akan menyusahkan kamu...” (al-Maidah:101). Ayat ini adalah lafaz larangan tetapi terdapat qarinah yang menunjukkan ia bukanlah haram, tetapi makruh. Iaitu firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “...dan jika kamu menanyakan di waktu Al Quran itu diturunkan, niscaya akan diterangkan kepadamu, Allah memaafkan (kamu) tentang hal-hal itu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyantun.” (Al-Maidah:101).
Ulamak Hanafi membahagikan perkara makruh ini kepada kepada dua kategori, iaitu Makruh Tahrim dan Makruh Tanzih. Makruh Tahrim ialah perkara yang dituntut meninggalkannya secara pasti melalui dalil zanni. Contohnya, menjual barangan di atas jualan orang lain. Baginda s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Janganlah seseorang menjual barangan di atas jualan saudaranya.” (Hadis riwayat Ahmad dan al-Nasai). Manakala Makruh tanzih ialah perkara yang dituntut meninggalkannya secara tidak pasti, dan tidak ada dalil yang menunjukkan perbuatan itu haram. Contohnya, makan daging kuda dan minum susunya. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Dan (Allah menjadikan) kuda dan baghal serta keldai untuk kamu menunggangnya, dan untuk menjadi perhiasan; dan ia menjadikan apa Yang kamu tidak mengetahuinya.” (an-Nahl:8). Pada pandangan jumhur ulamak makruh adalah sama dengan makruh tanzih.
5. Harus
Harus ialah sesuatu perkara yang mana Syarak telah memberi pilihan kepada setiap mukallaf sama ada untuk melakukannya atau meninggalkannya. Tidak ada pahala atau dosa kepada sesiapa yang melakukannya atau meninggalkannya. Contohnya, meminang seorang janda secara sindiran. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Dan tidak ada dosa bagi kamu meminang wanita-wanita itu dengan sindiran atau kamu menyembunyikan (keinginan mengawini mereka) dalam hatimu.” (al-Baqarah:235). Iaitu jika seseorang itu hendak meminang janda yang masih dalam idahnya, janganlah pinangan itu dikemukakan kepadanya secara berterus-terang. Namun, hendaklah dengan sindiran, bayangan ataupun isyarat sahaja, dengan menggunakan gaya bahasa yang tidak tepat tetapi sopan. Ataupun dengan menyembunyikan hasrat yang ada dalam hati – tiada dilahirkannya dengan rangkaian kata-kata – hanya dilakukan dengan melawat-lawat ke rumahnya, atau memberi salam ataupun memberikan suatu hadiah kepadanya.
Rujuk: Abdul Latif b Muda & Rosmawati Ali @ Mat Zin (2001). Perbahasan Usul Al-Ahkam. Pustaka Salam. Kuala Lumpur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan