Rabu, November 24, 2010

Tahniah

Ahli Kariah mengucapkan tahniah kepada Biro Penerangan & Penerbitan, Masjid Nurul Yaqin, SS7, Kelana Jaya, yang sudah menerbitkan Halaman Rasmi MNY. Sila klik di sini:

Selasa, April 27, 2010

MESYUARAT AJK MASJID NURUL YAQIN KALI KE-2

Kepada Semua AJK Masjid Nurul Yaqin,

1. Butiran Mesyuarat:

1.1 Hari / Tarikh: Khamis 29 April 2010
1.2 Masa: 9.00 malam
1.3 Tempat: Dewan Sekolah KAFA

2. Agenda:
2.1 Melantik Pemangku Nazir.
2.2 Hal-Hal lain.

Penolong Setiausaha.

Selasa, Mac 16, 2010

Ahad, Mac 07, 2010

Hukum Syarak (1)

(Artikel ringkas mengenai Hukum Syarak)

Pengenalan

Definisi hukum menurut bahasa ialah menetapkan sesuatu terhadap sesuatu.

Menurut istilah, hukum ialah khitab atau firman Allah yang berkaitan dengan segala perbuatan mukallaf sama ada yang berbentuk tuntutan, pilihan atau dijadikan.

Yang dimaksudkan dengan khitab Allah ialah mesej daripada Allah s.w.t yang disampaikan kepada mukallaf melalui utusanNya, Muhammad s.a.w. dalam bentuk wahyu yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah.

Yang dimaksudkan dengan mukallaf ialah mereka yang cukup umur, berakal dan sampai seruan Islam kepada mereka.

Jenis-Jenis Hukum Syarak

Hukum syarak boleh dibahagikan kepada dua jenis:

Pertama Hukum Taklifi iaitu Khitab Allah yang mengandungi tuntutan supaya melakukan sesuatu perbuatan (seperti wajib dan sunat) atau meninggalkannya (seperti haram dan makruh) atau diberi pilihan untuk melakukan atau meninggalkannya (iaitu harus).

Kedua Hukum Wad’i iaitu Khitab Allah yang menjadikan sesuatu sebagai sebab, syarat dan penghalang kepada sesuatu hukum.

Hukum Taklifi

1. Wajib

Ialah tuntutan syarak ke atas mukallaf supaya melakukan sesuatu perbuatan dengan tuntutan pasti. Iaitu perkara yang diberi pahala kerana melakukannya dan berdosa kerana meninggalkannya. Contohnya, solat lima waktu. Firman Allah s.w.t, yang bermaksud: "Dirikanlah solat dan keluarkan zakat" (An-Nisa:77). Ayat ini menjelaskan bahawa solat (dan zakat) itu adalah wajib kerana ia satu bentuk tuntutan yang pasti iaitu berdasarkan dalil qat'i, al-Quran al-Kariim.

Ulamak mazhab Hanafi membezakan di antara wajib dan fardhu. Jika tuntutan supaya melakukan sesuatu dalam bentuk pasti berdasarkan al-Quran dan Hadis Mutawatir, maka ia dinamakan fardhu. Jika berdasarkan dalil-dalil lain, selain daripada al-Quran dan Hadis Mutawatir, maka ia dinamakan wajib. Contohnya, membaca mana-mana surah dalam solat adalah fardhu kerana ia berdasarkan dalil qat'i iaitu al-Quran. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: maka bacalah apa yang mudah (bagimu) dari Al Qur'an dan dirikanlah sembahyang, (al-Muzzammil:20). Sementara membaca surah al-Fatihah pula adalah wajib kerana ia berdasarkan dalil yang zanni iaitu Hadis Ahad. Rasulullah s.a.w. bersabda, yang bermaksud: “Tiada solat bagi seseorang yang tidak membaca fatihah.” (Hadis Riwayat Bukhari).

2. Sunat

Ialah apa yang dituntut oleh syarak untuk melakukannya sebagai tuntutan tidak pasti. Iaitu perkara yang diberi pahala kerana melakukannya dan tidak berdosa kerana meninggalkannya. Contohnya, mencatatkan hutang. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu bermu'amalah tidak secara tunai untuk waktu yang ditentukan, hendaklah kamu menuliskannya.” (Al-Baqarah:282). Lafaz ini menunjukkan wajib, tetapi terdapat qarinah atau tanda yang memalingkan kepada tidak wajib. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “… Akan tetapi jika sebagian kamu mempercayai sebagian yang lain, Maka hendaklah yang dipercayai itu menunaikan amanatnya (hutangnya)” (Al-Baqarah:283). Maka perintah mencatit hutang adalah perintah sunat.

3. Haram

Ialah tuntutan syarak supaya meninggalkan sesuatu perbuatan dengan tuntutan pasti. Iaitu perkara yang diberi pahala kerana meninggalkannya dan berdosa kerana melakukannya. Contohnya, larangan mengumpat. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: "...dan janganlah sebahagian daripada kamu mengumpat sebahagian yang lain." (al-Hujarat:12). Ayat ini menjelaskan bahawa mengumpat itu adalah haram kerana ia satu bentuk tuntutan yang pasti iaitu berdasarkan dalil qat'i, al-Quran al-Kariim.

4. Makruh

Ialah sesuatu perkara yang dituntut oleh syarak meninggalkannya sebagai tuntutan tidak pasti. Iaitu perkara yang diberi pahala kerana meninggalkannya dan tidak berdosa kerana melakukannya. Contohnya, bertanya pada perkara-perkara yang tidak perlu. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menanyakan (kepada Nabimu) hal-hal yang jika diterangkan kepadamu akan menyusahkan kamu...” (al-Maidah:101). Ayat ini adalah lafaz larangan tetapi terdapat qarinah yang menunjukkan ia bukanlah haram, tetapi makruh. Iaitu firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “...dan jika kamu menanyakan di waktu Al Quran itu diturunkan, niscaya akan diterangkan kepadamu, Allah memaafkan (kamu) tentang hal-hal itu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyantun.” (Al-Maidah:101).

Ulamak Hanafi membahagikan perkara makruh ini kepada kepada dua kategori, iaitu Makruh Tahrim dan Makruh Tanzih. Makruh Tahrim ialah perkara yang dituntut meninggalkannya secara pasti melalui dalil zanni. Contohnya, menjual barangan di atas jualan orang lain. Baginda s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Janganlah seseorang menjual barangan di atas jualan saudaranya.” (Hadis riwayat Ahmad dan al-Nasai). Manakala Makruh tanzih ialah perkara yang dituntut meninggalkannya secara tidak pasti, dan tidak ada dalil yang menunjukkan perbuatan itu haram. Contohnya, makan daging kuda dan minum susunya. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Dan (Allah menjadikan) kuda dan baghal serta keldai untuk kamu menunggangnya, dan untuk menjadi perhiasan; dan ia menjadikan apa Yang kamu tidak mengetahuinya.” (an-Nahl:8). Pada pandangan jumhur ulamak makruh adalah sama dengan makruh tanzih.

5. Harus

Harus ialah sesuatu perkara yang mana Syarak telah memberi pilihan kepada setiap mukallaf sama ada untuk melakukannya atau meninggalkannya. Tidak ada pahala atau dosa kepada sesiapa yang melakukannya atau meninggalkannya. Contohnya, meminang seorang janda secara sindiran. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Dan tidak ada dosa bagi kamu meminang wanita-wanita itu dengan sindiran atau kamu menyembunyikan (keinginan mengawini mereka) dalam hatimu.” (al-Baqarah:235). Iaitu jika seseorang itu hendak meminang janda yang masih dalam idahnya, janganlah pinangan itu dikemukakan kepadanya secara berterus-terang. Namun, hendaklah dengan sindiran, bayangan ataupun isyarat sahaja, dengan menggunakan gaya bahasa yang tidak tepat tetapi sopan. Ataupun dengan menyembunyikan hasrat yang ada dalam hati – tiada dilahirkannya dengan rangkaian kata-kata – hanya dilakukan dengan melawat-lawat ke rumahnya, atau memberi salam ataupun memberikan suatu hadiah kepadanya.

Rujuk: Abdul Latif b Muda & Rosmawati Ali @ Mat Zin (2001). Perbahasan Usul Al-Ahkam. Pustaka Salam. Kuala Lumpur.

Sambungan akan datang –Hukum Wadhi’

Isnin, Mac 01, 2010

Adakah Azan itu Ibadah?

Ada pendapat yang agak tersasar mengatakan bahawa azan itu bukan ibadah. Mungkin saja yang empunya pendapat itu agak terkeliru dengan pemerhatiannya bahawa kadang-kadang kanak-kanak melaungkan azan. Dan katanya lagi, jika azan itu benar-benar ibadah mana rukunnya?

Artikel ringkas ini bukanlah jawapan kepada dakwaan di atas, tetapi sekadar berkongsi pengetahuan dengan ahli kariah sekalian. Jika ada sebarang maklumat yang bertentangan dengan isi kandungan artikel ini, silalah berikan komen tuan-tuan.

AZAN SEBAGAI LAMBANG SYIAR ISLAM

Pendahuluan

Azan merupakan lafaz khusus yang disyariatkan oleh Islam untuk menyatakan masuknya waktu sembahyang fardhu dan menyeru orang-orang Islam supaya berkumpul untuk mengerjakannya.

Definisi

Azan dari segi bahasa bermaksud pemberitahuan atau seruan. Dari segi istilah pula, azan ialah suatu gabungan perkataan tertentu sebagai pemberitahuan tentang waktu sembahyang dengan lafaz-lafaz tertentu.

Hukum

Hukum azan adalah sunat mu’akkadah `ala al-kifayah bagi sesuatu kumpulan. Ini bermakna tuntutan sunatnya terlaksana walaupun tidak dilakukan oleh semua ahli kumpulan tersebut. Bagi individu pula, ia merupakan sunat `aini atau dengan kata lain pahala sunat diperolehi apabila seseorang itu melakukannya.

Syariat

Dari segi sejarahnya, azan mula disyariatkan pada tahun pertama Hijrah.

Dalil

1. Dalil daripada al-Qur’an ialah firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Jika kamu dipanggil (diseru) untuk sembahyang...” (Surah al-Ma’idah: 58)

2. Dalil daripada as-Sunnah pula merangkumi banyak hadith. Antaranya ialah sebuah hadith yang bermaksud:

“Apabila tiba waktu sembahyang hendaklah salah seorang kamu melakukan azan dan yang lebih tua daripada kamu hendaklah menjadi imam.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Syarat-Syarat Azan

1. Tertib. Hendaklah azan itu dilaungkan dengan mengikut susunan ungkapannya.

2. Berturut-turut. Hendaklah ungkapan-ungkapan azan itu dilaungkan secara berturut-turut.

3. Melaungkan dengan suara yang nyaring. Azan untuk mendirikan sembahyang jemaah hendaklah dilaungkan dengan suara yang nyaring, sekurang-kurangnya didengar dengan jelas oleh seorang daripada jemaah tersebut.

4. Masuk waktu sembahyang. Azan itu hendaklah dilaungkan ketika sudah masuk waktu sembahyang fardhu.

Syarat-Syarat Orang Yang Azan

1. Islam. Tidak sah azan orang kafir.

2. At-tamyiz. Tidak sah azan oleh kanak-kanak yang belum mumaiyiz.

3. Lelaki. Tidak sah azan dilaungkan oleh perempuan bagi jemaah lelaki.

Sunat-Sunat Azan

1. Sunat bagi orang yang azan dan iqamah itu berdiri,

2. Berdiri di tempat yang tinggi seperti menara masjid.

3. Menghadap ke qiblat. Kerana qiblat itu adalah semulia-mulia arah.

4. Sunat ketika azan – tanpa menggerakkan dada dan kaki.

5. Sunat menutup dua lubang telinga dengan dua jari telunjuk, kerana ianya boleh meninggikan lagi suara.

6. Sunat bagi orang yang melaungkan azan itu merdeka (bukan hamba) dan baligh.

7. Sunat bagi orang yang azan itu bersifat adil.

8. Sunat bagi orang yang azan itu suci (taharah) daripada hadas atau junub.

9. Sunat melaungkan azan itu dengan bacaan yang tartil (bacaan yang perlahan dengan menyebut kalimah-kalimahnya dengan terang dan jelas).

10. Sunat bagi orang yang melaungkan azan itu tinggi suaranya

11. Sunat menjawab azan.

12. Sunat ke atas orang yang azan serta orang-orang yang mendengarnya bershalawat dan mengucapkan salam ke atas Nabi Muhammad s.a.w. sesudah selesai daripada azan dan iqamah tersebut.

13. Sunat duduk dan diam seketika atau sebagainya di antara azan dan iqamah bagi menunggu jemaah berkumpul.

14. Sunat berpindah daripada tempat melaungkan azan ke tempat lain ketika menyerukan iqamah.

Rujukan:

1. Al-Qur’an Al-Karim dan terjemahannya.

2. Al-Fiqh al-Manhaji Kitab Fiqh Mazhab Syafie, Jilid 1, Terbitan Pustaka Salam Sdn. Bhd., Karangan Dr. Mustafa al-Khin, Dr. Mustafa al-Bugha & Ali asy-Syarbaji.

3. Fiqh & Perundangan Islam, Jilid 1, Cetakan Ketiga 1997, Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Karangan Dr. Wahbah al-Zuhaili, Terjemahan Syed Ahmad Syed Hussain dll.

Ahad, Februari 28, 2010

Kursus Smart Solat

Jadual Kuliah Magrib - Mac 2010

TarikhHariTopikPenceramah
1IsninPenyakit Rohani dan RawatannyaUstaz Amir Noor Hezan
2SelasaFiqh Imam Shafie (3)Ustaz Ahmad Basri
3RabuRiadhus SolihinUstaz Dr Faisal Ahmad Shah
4KhamisSurah YasinImam Haji Wan Mohd Mahidin
5JumaatMensucikan JiwaUstaz Sukri Idris
6SabtuHarfiah al-QuranUstaz Mat Salleh
7AhadPanduan Memahami al-QuranUstaz Kausari Mansur
8IsninHadis QudsiUstaz Haji Omar
9SelasaTajwid al-QuranUstaz Syaiful Khan
10RabuRisalah At-TauhidUstaz Mohd Aleh Solihin
11KhamisSurah YasinImam Mohd Fazri
12JumaatSirah NabawiyahUstaz Mohd Ismail
13SabtuAqidah Ahli Sunnah wal JamaahUstaz Shamsuddin
14AhadBahasa ArabUstaz Mat Salleh
15IsninPenyakit Rohani dan RawatannyaUstaz Amir Noor Hezan
16SelasaTajwid al-QuranUstaz Syaiful Khan
17RabuMensucikan JiwaUstaz Sukri Idris
18KhamisSurah YasinIman Noor Rashid
19JumaatBahasa ArabUstaz Mat Salleh
20SabtuHarfiah al-QuranUstaz Mat Salleh
21AhadPanduan Memahami al-QuranUstaz Kausari Mansur
22IsninHadis QudsiUstaz Haji Omar
23SelasaFiqh Imam Shafie (3)Ustaz Ahmad Basri
24RabuRiadhus SolihinUstaz Dr Faisal Ahmad Shah
25KhamisSurah YasinImam Haji Wan Mohd Mahidin
26JumaatSirah NabawiyahUstaz Mohd Ismail
27SabtuTafsir al-QuranUstaz Shamsuddin
28AhadRisalah At-TauhidUstaz Mohd Aleh Solihin
29IsninPenyakit Rohani dan RawatannyaUstaz Amir Noor Hezan
30SelasaTajwid al-QuranUstaz Syaiful Khan
31RabuRiadhus SolihinUstaz Dr Faisal Ahmad Shah