Sabtu, Januari 24, 2009

Al-IIlaa’

PENGERTIAN IILAA’
Dari segi bahasa: Illaa' bermakna sumpah.

Dari segi syarak: Illaa' ialah satu sumpah yang dibuat oleh seorang suami, dengan nama Allah SWT, atau satu daripada sifat-sifat-Nya, ataupun dengan nazar atau ta'lik talaq, untuk tidak melakukan persetubuhan dengan isterinya bagi satu tempoh tertentu.

DALIL IILAA’
1. Firman Allah:
لِّلَّذِينَ يُؤْلُونَ مِن نِّسَآئِهِمْ تَرَبُّصُ أَرْبَعَةِ أَشْهُرٍ فَإِنْ فَآؤُوا فَإِنَّ اللّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ (2:226)
وَإِنْ عَزَمُواْ الطَّلاَقَ فَإِنَّ اللّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ (2:227)
Maksudnya: mereka (suami) yang bersumpah terhadap isteri-isteri mereka (tidak akan mensetubuhinya) maka isteri hendaklah menunggu selama empat bulan. Sekiranya suami-suami yang bersumpah itu kembali semula (mensetubuhi) sesungguhnya Allah pengampun lagi maha penyayang. Dan jika mereka bermaksud untuk menggugurkan talak, maka Allah pendengar lagi mengetahui. (Al-Baqarah (2):226–227)

2. Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: Rasulullah SAW telah bersumpah tidak mahu bersetubuh dengan isteri-isterinya dan ia mengharamkan, ia jadikan yang haram itu halal dan ia jadikan kifarat pada sumpahnya itu. (Riwayat At-Turmizi)

HUKUM IILAA’
Sekiranya suami yang mengiilaa’ isterinya itu tidak juga mahu mensetubuhi semula dalam masa empat bulan, maka isteri boleh membuat pengaduan kepada kadhi meminta supaya suaminya itu mensetubuhinya semula serta membayar kifarah sumpahnya. Dan jika suami tidak juga mengindahkan tuntutan tersebut, pihak isteri boleh menuntut supaya suami menggugurkan talaknya. Jika suami berdegil juga, tidak mahu menunaikan salah satu dari dua perkara tersebut, pihak kadhi berhak menggugurkan talak satu.

Sebahagian ulama’ berpendapat: apabila tempoh iilaa’ itu sampai empat bulan, suami tidak juga kembali kepada isterinya (mensetubuhi) dengan sendirinya gugur talak isteri itu sebagai talak ba’in.

KIFARAH IILAA’
Apabila suami mensetubuhi semula isteri yang diilaa’nya itu sebelum sampai empat bulan dari tarikh iilaa’nya, maka suami wajiblah membayar kifarah sumpahnya itu, kerana ia dianggap telah melanggar sumpah yang dibuatnya. Kifarah tersebut adalah seperti berikut:

1. Memberi sedekah makanan kepada sepuluh orang miskin, tiap-tiap seorang diberi secupak makanan yang asasi (beras di Malaysia) atau
2. Memberi pakaian kepada sepuluh orang miksin, atau
3. Memerdekakan seorang hamba yang mukmin.

RUKUN IILAA’
1. Suami yang mengiilaa’ (Halif).
2. Isteri yang disumpah (Mahluf alaihi).
3. Sesuatu yang dibuat sumpah dengannya (Mahluf bihi) iaitu dengan nama Allah, sifat-sifatnya dan sebagainya.
4. Masa (muddah).
5. Sighah (lafaz iilaa’).

SYARAT-SYARAT SUAMI YANG BERSUMPAH
1. Hendaklah yang bersumpah itu benar-benar suami, bukan tuan kepada hampa perempuan dan bukan orang asing.
2. Hendaklah suami itu sah talaknya jika ia menjatuhkan talak isterinya, ertinya suami itu bukan masih kanak-kanak, gila dan bukan yang dipaksa, kerana mereka itu tidak sah talaknya maka begitulah juga tidak sah iilaa’nya.
3. Suami bukan yang terpotong zakarnya atau mati pucuk kecuali jika perkara-perkara itu berlaku setelah iilaa’.

SYARAT: (SESUATU YANG DIBUAT SUMPAH)
Tidak dimestikan sumpah iilaa’ itu dengan menggunakan nama Allah atau sifat-sifatnya sahaja. Malah suami dikira mengiilaa’ isterinya jika mentaklidkan sumpah dengan talak, memerdekakan hamba atau melakukan sesuatu ibadat. Contohnya kata suami kepada isterinya: “Jika saya mensetubuhi awak maka wajib saya memerdekakan hamba atau bersedekah, puasa atau sembahyang dan sebagainya”.

SYARAT TEMPOH MASA IILAA’
Tempoh masa illa’ ialah lebih dari empat bulan, seperti kata suami: "Saya tidak akan mensetubuhi awak selama lima bulan." Atau pun tidak menghadkan masa selama seperti katanya: "Saya tidak akan mensetubuhi awak." Atau dikaitkan tempoh masa itu dengan sesuatu perkara yang akan berlaku tetapi masih jauh, katanya: "Saya tidak akan mensetubuhi awak sehingga saya mati atau awak mati atau si polan itu mati." Apabila seorang suami berkata kepada isterinya seperti contoh-contoh tersebut di atas, maka ia dianggap telah mengilla’ isterinya itu.

Jika suami berkata kepada isterinya: "Saya tidak akan mensetubuhi awak selama empat bulan." Perkataan yang sedemikian tidak dikatakan illa’, tetapi hanyalah sumpah bahasa, kerana tempoh masa tersebut tidak melebihi empat bulan.

Jika suami berkata kepada isterinya: "Demi Allah saya tidak akan mensetubuhi awak selama empat bulan." Dan apabila berlalu empat bulan, suami itu berkata lagi: "Saya tidak mahu mensetubuhi awak selama empat bulan." Kata-kata yang demikian dianggap suami itu telah menggilla’ isterinya, kerana sumpahnya itu telah melebihi empat bulan.

Jika ia berkata: "Demi Allah saya tidak akan mensetubuhi awak selama lima bulan." Apabila berlalu lima bulan, dia berkata lagi: "Demi Allah saya tidak akan mensetubuhi awak selama enam bulan." Kata-kata yang demikian dianggap suami telah melakukan dua kali illa’ dan tiap-tiap satu darinya mempunyai hukum-hukum yang berasingan.

SYARAT-SYARAT LAFAZ IILAA’
Lafaz illa’ terbahagi kepada dua:
1. Lafaz sarih: iaitu lafaz yang terang-terang menunjukkan illa’, tidak mengandungi erti yang lain, seperti kata suami: "Demi Allah saya tidak akan mensetubuhi awak."
2. Lafaz kinayah: iaitu lafaz yang boleh mengandungi erti yang lain selain dari illa’ dan lafaz kinayah ini memerlukan niat, seperti kata suami: "Demi Allah saya tidak akan sentuh awak, atau tidak akan memeluk awak."

BEBERAPA MASALAH BERHUBUNG DENGAN IILAA’
1. Jika isteri yang diiilaa’ itu sedang dalam masa idah raj’i, maka masa empat bulan itu dikira dari masa suami rujuk semula.
2. Jika isteri yang diilaa’ itu murtad, sakit gila atau mengerjakan haji yang wajib masa empat bulan itu akan terputus. Masa iilaa’ selama empat bulan itu dikira semula setelah isteri yang diilaa’ itu telah sihat atau selesai mengerjakan haji tersebut.
3. Jika isteri yang diilaa’ itu mengaku yang suaminya telah mensetubuhinya kembali setelah empat bulan masanya, sedangkan suami tidak mengakuinya, maka pihak isteri tidak berhak mengemukakan tuntutan lagi, kerana ia telah membuat pengakuan terlebih dahulu.
4. Jika suami mengulang-ulangkan sumpah iilaa’ itu beberapa kali hukumnya adalah seperti berikut:
(a) Sekiranya ia bermaksud dengan sumpah yang diulang-ulangnya itu hanya untuk menguatkan lagi sumpah yang pertama: kata-kata itu diakui dan diterima dengan syarat ia mesti bersumpah, yang ia bermaksud seperti di atas, sekalipun diulang sumpah itu pada tempat yang berlainan dan lama perantaraan masa antara sumpah pertama dan sumpah kedua yang berikutnya.
(b) Jika ia bermaksud dengan sumpah yang diulang-ulang itu sebagai sumpah yang lain, diterima dengan apa yang dimaksudkannya itu dan sumpah itu menjadi bertambah mengikut banyak mana diucapkan (dua atau pun tiga) atau seterusnya. Sekiranya bilangan sumpahnya banyak, untuk membatalkan kembali sumpahnya itu, memadai dengan hanya sekali jima’ (setubuh) dan cukup dengan membayar satu kifarah sahaja, begitu juga suami yang mengiilaa’ itu akan terlepas dari semua sumpahan jika ia menceraikan isterinya itu (ertinya tanpa dikenakan kifarah).
(c) Jika ia tidak bermaksud dengan sumpah iilaa’ yang diulangnya itu sebagai menguatkan sumpah yang pertama dan tidak pula ia bermaksud membuat satu-satu sumpah yang baru, maka hukumnya: -i- Dikira sumpah sahaja jika diulang sumpah itu pada satu tempat. -ii- Dikira berbilang sumpah tersebut mengikut bilangan yang diucapkan, sekiranya diulangi sumpah tersebut pada tempat-tempat yang berlainan.

2. Fiqh & Perundangan Islam Jilid VII

Tiada ulasan: