Rabu, Oktober 22, 2008

Hukum Jampi

Terdapat riwayat menceritakan bahawa Abdullah bin Mas’ud suatu hari melihat di leher isterinya terdapat tangkal benang. Lalu ia bertanya isterinya; ‘Apa ini?’. Jawab isterinya; ‘Tangkal yang dijampi untuk berlindung dari demam/rasa panas’.

Lantas Abdullah merentap tangkal tersebut dan membuangnya. Kemudian ia berkata kepada isterinya; ‘Sesungguhnya ahli keluarga Abdullah bebas dari syirik. Aku dengar Rasulullah bersabda; ‘Sesungguhnya jampi-jampi, tangkal-tangkal dan sihir tiwalah adalah syirik’.

Isteri Abdullah lalu menceritakan kepadanya; ‘Suatu suatu hari aku keluar dari rumah. Aku terserempak dengan seorang lelaki yang melihat aku dengan matanya (yakni menyihir aku dengan matanya) menyebabkan mataku sentiasa berair/mengalir air mata. Maka aku pergi kepada seorang yahudi dan ia mengajar kepadaku satu jampi. Apabila aku membaca jampi itu, mataku pun berhenti berair. Namun apabila aku meninggalkan jampi itu, mataku kembali berair’.

Abdullah berkata -memberi penjelasan kepada isterinya-; ‘Itulah mainan syaitan (untuk menyesatkan kamu). Apabila kamu taatinya (yakni dengan membaca jampi itu) ia biarkan kamu (yakni ia tidak menyakiti kamu), dan apabila kamu engkarinya (yakni dengan meninggalkan jampi itu), ia mencucuk mata kamu dengan jari-jarinya’.

Abdullah berkata lagi; ‘Jika kamu melakukan sebagaimana yang diajar Rasulullah s.a.w. adalah lebih baik dan lebih mudah sembuh iaitu kamu merenjiskan air ke matamu sambil membaca doa;

أَذْهِبِ الْبَاسْ. رَبَّ النَّاسْ. اِشْفِ، أَنْتَ الشَّافِي. لاَشِفَاءَ إِلاَّ شِفَاؤُكَ، شِفَاءً لاَيُغَادِرُ سَقَماً

"Jauhilah penyakit wahai Tuhan manusia. Sembuhkanlah kerana Engkaulah Tuhan yang maha menyembuhkan. Tidak ada sembuhan melainkan sembuhan Engkau, sembuhan yang tidak akan meninggalkan sebarang penyakit”.(Riwayat Imam Ibnu Majah dari Zainab r.a.)

Bacaan tambahan:

1. Hukum Jampi
2. Hukum Rawatan Menggunakan Jampi Mentera dan Serapah
3. Batasan-Batasan Syarat Berubat dengan Jampi dan Tangkal

Tiada ulasan: